Oleh : Ustaz Mohd Khafidz Bin Soroni
نحمد الله العظيم، ونصلّي ونسلّم على رسوله الكريم؛
Perkara khilaf seumpama ini, jika tidak disertai dengan nada
‘keras’, tidak perlu untuk diperpanjang-panjangkan lagi. Namun, jika
sudah menggunakan nada ‘keras’ seperti; “membuka pintu kefasadan yang besar”, “membawa kecelaruan dalam amalan agama”, “memusnahkan rujukan penting umat Islam”, “perlu dibendung kerana membawa kemusnahan kepada masyarakat Islam” dan “menjauhkan mereka dari ajaran Nabi s.a.w.”,
maka menurut hemat saya kekeliruan-kekeliruan seumpama ini wajar
diperjelaskan. [*Saya tidak mahu menyebut siapa dan dari mana sumber
kekeliruan ini kerana pada saya ia tidak perlu]
1. Kekeliruan:
Seseorang tidak boleh bertemu secara sedar (yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w. kerana seseorang yang mati tidak lagi boleh bertemu dengan orang yang hidup secara sedar.
Jawapan:
Benar, dalam hal keadaan biasa seseorang tidak boleh bertemu secara sedar atau jaga (yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w. Tetapi, sebagai suatu karamah seseorang yang soleh boleh bertemu secara sedar atau jaga (yaqazah)
dengan Rasulullah s.a.w. Hukumnya adalah harus dan mungkin, tidak
mustahil. Malah secara praktis ia memang berlaku kepada sebahagian
wali-wali Allah Taala dan orang-orang yang soleh. Maka tidak harus bagi
kita menuduh mereka berbohong atau berdusta dalam dakwaan berkenaan.
Melainkan jika kita mempunyai bukti kukuh tentang pembohongan atau pendustaan tersebut.
Antara mereka ialah; Syeikh ‘Abdul Qadir al-Jailani, Syeikh Abu
al-Hasan al-Syazili, Imam Abu al-‘Abbas al-Qurtubi, Syeikhul-Akbar
Muhyiddin Ibn al-‘Arabi, Syeikh Khalifah bin Musa, Syeikh Abu al-‘Abbas
al Mursi (w. 686H), Syeikh Abu ‘Abdillah al-Qurasyi, Syeikh Kamaluddin
al-Adfawi, Syeikh ‘Ali al-Wafa’i, Syeikh ‘Abd al-Rahim al-Qinawi, Syeikh
Abu Madyan al-Maghribi, al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti, Syeikh ‘Ali
al-Khawwas, Syeikh Ibrahim al-Matbuli, Imam Abu al-‘Abbas al-Qastallani,
Syeikh Abu al-Su‘ud ibn Abi al-‘Asya’ir, Syeikh Ibrahim al-Dusuqi,
Sayyid Nuruddin al-Iji, Syeikh Ahmad al-Zawawi, Syeikh Mahmud al-Kurdi,
Syeikh Ahmad bin Thabit al-Maghribi, Imam al-Sya‘rani, Syeikh Abu
al-Mawahib al-Syazili, Syeikh Nuruddin al-Syuni, al-Habib ‘Umar bin
‘Abdul Rahman al-‘Attas (penyusunRatibul ‘Attas), Sayyidi ‘Abd
al-‘Aziz al-Dabbagh, Syeikh Muhammad bin Abi al-Hasan al-Bakri, Sayyidi
Ahmad bin Idris, Syeikh Ahmad al-Tijani dan lain-lain.
Antara dalilnya adalah zahir hadis berikut yang menunjukkan seseorang yang soleh boleh bertemu secara sedar atau jaga (yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w., tetapi dengan syarat mestilah pernah bertemu dahulu secara mimpi (ru’ya) dengan baginda s.a.w. Dari Abu Hurairah r.a. katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
« من رآني في المنام فسيراني في اليقظة، ولا يتمثل الشيطان بي»
“Sesiapa yang melihatku di dalam mimpi, maka dia akan melihatku secara yaqazah (di dalam keadaan jaga), kerana syaitan tidak boleh menyerupaiku”. [Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud dan Ahmad. Lafaznya dari al-Bukhari]
Antara ulama yang mengatakan atau mengiktiraf kemungkinan boleh bertemu secara sedar atau jaga (yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w. ialah:
1. Imam Ibn Abi Jamrah al-Maliki dalam Bahjah al-Nufus.
2. Al-‘Allamah Ahmad al-Nafrawi al-Maliki dalam Syarh Risalah Ibn Abi Zayd.
3. al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fathul Bari Syarh Sahih al-Bukhari.
4. al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti dalam Tanwir al-Halak fi Imkan Ru’yah an-Nabi wa al-Malak.
5. Imam al-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim.
6. Imam al-Ghazali dalam al-Munqiz min al-Dhalal.
7. Imam Syihabuddin al-Qarafi,
8. Imam ‘Afif al-Din al-Yafi‘i al-Syafi‘i dalam (روض الرياحين).
9. Al-‘Allamah Ibn al-Haj al-Maliki dalam al-Madkhal.
10. Al-Qadhi Ibnu al-‘Arabi al-Maliki dalam kitabnya (قانون التأويل).
11. Imam Ibn ‘Ata’illah al-Sakandari (w. 709H) dalam kitab Lata’if al-Minan.
12. Al-Qadhi Syaraf al-Din al-Barizi dalam (توثيق عرى الإيمان).
13. Imam Tajuddin al-Subki.
14. Imam al-Qurtubi dalam (التذكرة في أحوال الموتى وأمور الآخرة).
15. Al-‘Allamah Ibn Battal al-Maliki
16. Al-‘Allamah Ibn al-Tin
17. Imam ‘Izz al-Din ibn ‘Abd al-Salam dalam al-Qawa’id al-Kubra.
18. Al-‘Allamah Mulla ‘Ali al-Qari dalam Syarh al-Syama’il.
19. Al-Qadhi Ibn al-Munayyir.
20. Imam Ibn Daqiq al-‘Id.
21. Imam ‘Abd al-Wahhab al-Sya‘rani dalam beberapa kitabnya.
22. Imam Ibn Hajar al-Haytami al-Makki dalam al-Fatawa al-Hadithiyyah.
23. Al-‘Allamah ‘Abd al-Ra’uf al-Munawi dalam Faydh al-Qadir.
24. Syeikh ‘Abdul Qadir bin ‘Abdullah al-‘Idrus (w. 1038H) dalam kitabnya al-Nurus Safir ‘an Akhbaril Qarnil ‘Asyir.
25. Imam Abu al-‘Abbas al-Qurtubi dalam al-Mufhim.
26. Imam al-Qastallani dalam al-Mawahib al-Laduniyyah.
27. Imam al-Baqillani.
28. Al-‘Allamah Sadruddin al-Qunawi dalam Syarh al-Arba‘in.
29. Al-‘Allamah Burhanuddin al-Biqa’i dalam al-Hawi.
30. Al-Qadhi ‘Iyadh al-Maliki.
31. Al-‘Allamah al-Maziri.
32. Al-‘Allamah Nuruddin al-Iji.
33. Al-‘Allamah ‘Abd al-Ghani al-Nabulsi dalam Syarh Salawat al-Jaylani.
34. Syeikh Ahmad ibn ‘Ajibah al-Hasani (w. 1224H) dalam al-Futuhat al-Ilahiyyah.
35. Al-‘Allamah Syeikh Ibn ‘Allan al-Siddiqi.
36. Al-‘Allamah Najmuddin al-Ghazi dalam kitabnya al-Kawakib al-Sa’irah.
37. Imam Syah Waliy Allah al-Dihlawi dalam al-Durr al-Thamin.
38. Al-‘Allamah al-Alusi dalam tafsir Ruh al-Ma’ani.
39. Sayyid ‘Abdul Rahman al-‘Idrus dalam kitab Syarh Salawat al-Badawi.
40. Syeikh ‘Ali al-Ajhuri al-Maliki dalam al-Nur al-Wahhaj.
41. Syeikh Muhammad al-Khalili dalam al-Fatawa.
42. Syeikh ‘Abdullah Sirajuddin al-Halabi dalam al-Solat ‘ala al-Nabiy.
43. Al-‘Allamah Syeikh Yusuf al-Nabhani dalam Sa‘adah al-Darayn, Syawahidul Haq dan Jami‘ Karamatil Auliya’.
44. Syeikh Badi‘ al-Zaman Sa‘id al-Nursi.
45. Syeikh Ibrahim al-Bajuri dalam Syarh al-Syama’il.
46. Syeikh Muhammad Hasanain Makhluf.
47. Syeikh Abu al-Qasim Muhammad al-Hafnawi dalam Ta’rif al-Khalaf.
48. Al-‘Allamah Dr. ‘Abdul Halim Mahmud, Syeikhul Azhar.
49. Al-‘Allamah Sayyid ‘Abdullah al-Siddiq al-Ghumari dalam kitabnya Fadha’ilun Nabi SAW.
50. Al-‘Allamah Dr. Sayyid Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki dalamal-Zakha’ir al-Muhammadiyyah.
51. Al-‘Allamah Dr. Muhammad Sa‘id Ramadan al-Buti.
52. Al-Allamah Dr. ‘Ali Jum‘ah, Mufti Mesir dalam al-Bayan.
53. Dr. ‘Umar ‘Abdullah Kamil,
54. Dr. Mahmud al-Zayn.
55. Datuk Seri Maharaja Awang Haji Ismail bin Umar Abdul Aziz, Mufti Brunei.
Dan ramai lagi jika diperincikan secara detil.
2. Kekeliruan:
Iktikad seperti ini membuka pintu kefasadan yang besar dan
seterusnya membawa kecelaruan dalam amalan agama. Ini kerana, seseorang
yang telah berjumpa Nabi s.a.w. seterusnya akan mendakwa ajaran-ajaran
tambahan yang diberikan oleh baginda s.a.w. kepadanya.
Jawapan:
Belum ada orang mukmin soleh yang telah berjumpa Nabi s.a.w.
mendakwa membawa ajaran-ajaran tambahan yang diberikan oleh baginda
s.a.w. kepadanya, dalam erti kata, ajaran-ajaran tambahan yang tidak ada
asalnya dalam al-Quran mahupun hadis. Kesemua yang dinyatakan sekiranya
betul, hanyalah berbentuk petunjuk dan nasihatyang tidak lari dari ruang lingkup syarak, atau mempunyai asalnya daripada al-Quran dan hadis.
Kata al-‘Allamah al-Muhaddith Syeikh Muhammad al-Hafiz al-Tijani (w. 1398H):
“Kami tidak beriktikad bahawa di sana - selepas Rasulullah SAW –
terdapat suatu syariat baru dalam apa jua bentuk sekalipun. Dan apa
yang dibawa oleh baginda SAW mustahil untuk dimansuh sebahagian
daripadanya, atau ditambah sesuatu terhadapnya. Sesiapa yang mendakwa
sedemikian, maka dia adalah kafir terkeluar daripada agama Islam.
Sesungguhnya kami, meskipun kami berpendapat harus seorang wali
itu melihat Rasulullah SAW dalam keadaan jaga, tetapi kami menganggap
hukumnya adalah sama seperti hukum mimpi tidur yang benar. Tidak dapat
dipegang kecuali atas apa yang menepati syariatnya SAW.
Penyaksian-penyaksian para wali itu bukanlah suatu hujah, tetapi yang
menjadi hujah adalah syariat Muhammad SAW. Adapun penyaksian-penyaksian
tersebut, hanyalah berita-berita gembira (busyra) yang terikat dengan
syariat baginda yang mulia; apa yang diterima olehnya kami juga
menerimanya dan apa yang tidak diterima olehnya, maka mazhab kami adalah
bersangka baik padanya. Maka kami hukumkannya seperti hukum mimpi yang
tertakwil.
Kita tidak ragu lagi bahawa kebanyakan mimpi itu perlu kepada
takwil/tafsir. Namun, kami memilih bersangka baik kerana seorang mukmin
yang bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Nabi
Muhammad itu adalah utusan Allah SWT, dan ia sayang terhadap agamanya,
serta patuh mengikutinya, kami menolak bahawa ia sengaja berdusta ke
atas Rasulullah SAW. Keadaan berjaga dalam perkara ini adalah sama
seperti keadaan tidur, sedang dia membaca sabdaan baginda SAW: “Sesiapa
yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka hendaklah dia menempah
tempat duduknya daripada api neraka”. – tamat kata-kata Syeikh Muhammad al-Hafiz al-Tijani
3. Kekeliruan:
Dengan itu, segala hadis yang telah dikumpul oleh para ulamak yang
menjadi tonggak sandaran hukum dan panduan bagi umat Islam sepanjang
zaman sudah tidak lagi diperlukan. Ini kerana sudah ada sumber hadis
lain yang lebih dekat kepada baginda.
Jawapan:
Kekeliruan ini hanya pendapat akal dan khayalan semata-mata yang
tidak berpijak kepada realiti yang berlaku dalam dunia kerohanian
ahli-ahli sufi yang hak. Tiada siapa dari kalangan wali-wali Allah Taala
dan orang-orang soleh ini mengatakan segala hadis yang telah dikumpul
oleh para ulama yang menjadi tonggak sandaran hukum dan panduan bagi
umat Islam sepanjang zaman sudah tidak lagi diperlukan kerana sudah ada
sumber hadis lain yang lebih dekat kepada baginda. Pada saya, kekeliruan
kerana berkhayal ini disebabkan kerana tidak cukup menelaah, membaca
dan memahami.
4. Kekeliruan:
Setelah situasi ini wujud maka banyaklah amalan-amalan yang boleh
ditambah dan diwujudkan berdasarkan arahan langsung daripada Rasulullah
kepada guru atau orang yang mencapai darjat menemui Rasul s.a.w.
Jawapan:
Sudah ratusan tahun isu bertemu secara sedar (yaqazah) dengan
Rasulullah s.a.w. ini dibincangkan oleh para ulama. Namun, hakikatnya
tiada langsung akidah baru atau hukum-hakam baru yang didakwa oleh
orang-orang soleh dan wali-wali Allah Taala yang pernah bertemu dengan
Rasulullah s.a.w. Kebanyakannya jika betul adalah berkaitan zikir, doa dan selawat.
Dan kesemua itu pula tidak terkeluar dari dalil-dalil dan
perintah-perintah syarak yang umum mengenainya. Bahkan menurut ramai
ulama, masalah-masalah yang khusus berkaitan zikir dan doa ini pintu
perbahasannya adalah lebih luas, tidak sepertimana amalan-amalan ibadah
lain, selamamana ia tidak melanggar batas-batas syarak. Jika benar ada
penerimaan sesuatu secara yaqazah, maka hukumnya adalah
seumpama hukum apa yang diperolehi daripada kasyaf, ilham dan mimpi yang
benar. Mesti ditimbang dengan neraca syarak.
Cuba perhatikan kata-kata Syeikh Muhammad al-Hafiz al-Tijani tadi:
“Meskipun kami berpendapat harus seorang wali itu melihat
Rasulullah SAW dalam keadaan jaga, tetapi kami menganggap hukumnya
adalah sama seperti hukum mimpi tidur yang benar. Tidak dapat dipegangkecuali atas apa yang menepati syariatnya SAW”.
5. Kekeliruan:
Hadis adalah tonggak kedua agama Islam, apabila tonggak ini telah
berjaya dicerobohi, maka panduan umat Islam akan menjadi goyah dan
berkecamuk. Percaya bahawa seseorang boleh menerima taklimat terus dari
Nabi s.a.w akan memusnahkan salah satu rujukan penting umat Islam yang
diberitahu sendiri oleh Rasulullah s.a.w iaitu, kitabullah dan sunahnya.
Jawapan:
Percaya bahawa seorang wali atau orang soleh boleh menerima taklimat terus dari Nabi s.a.w tidak akan memusnahkan institusi hadis yang sudah sedia ada. Jika benar mereka bertemu secara sedar (yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w., maka adalah amat MUSTAHIL baginda
s.a.w. akan menyuruh kepada perkara-perkara yang akan memansuhkan atau
merosakkan syariatnya sendiri. Tidak dapat diterima dek akal bahawa Nabi
s.a.w. akan mengkucar-kacirkan syariat yang telah dibangunkan dengan
titik peluh dan darah dagingnya sendiri.
Apa yang dikhayalkan itu tidak akan berlaku selama-lamanya kerana
para wali atau orang-orang soleh tersebut adalah golongan yang amat
takut kepada Allah SWT, sangat cinta kepada baginda Nabi s.a.w., terlalu
sayang dengan syariat baginda s.a.w., dan begitu kasih kepada umat
baginda s.a.w. Apakah dapat diterima akal, mereka ini berusaha untuk
merosakkan syariat baginda s.a.w.dan menyesatkan umatnya?? Seolah-olah
mereka tidak pernah dengar hadis baginda Nabi s.a.w.: “Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka hendaklah dia menempah tempat duduknya daripada api neraka”.
Jangan terlalu berprasangka buruk kepada ahli-ahli sufi seolah-olah
mereka semua orang yang bodoh, tidak mengerti syariat dan akan menerima
secara membuta tuli siapa saja yang mendakwa bertemu dengan Nabi
s.a.w., walaupun dari orang yang jahil. Jika ada ahli sufi yang
menyeleweng, maka sandarkan kesalahan itu kepadanya sahaja, bukan kepada
semua golongan ahli sufi.
6. Kekeliruan:
Para ulamak silam antaranya Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud Ahmad
dan ramai lagi, berjuang hingga berjaya menjadikan sumber rujukan Islam
kedua ini terpelihara dari dicampur adukkan oleh orang yang tidak
bertanggungjawab. Jika ada orang yang mengaku menerima taklimat dari
baginda tetapi tidak disandarkan kepada sumber yang telah dikumpulkan
oleh ulamak silam maka dakwaan itu dianggap salah dan pembohongan.
Jawapan:
Rangkap akhir di atas dapat difahami sebaliknya begini; Jika ada orang yang mengaku menerima taklimat dari baginda dan disandarkan kepada sumber yang telah dikumpulkan oleh ulamak silam maka dakwaan itu dianggap benar. Alhamdulillah, ada sedikit kemuafakatan.
Cubalah belek contohnya, kitab al-Durr al-Thamin fi Mubasysyarat al-Nabi al-Amin SAW susunan
Imam al-Mujaddid Syah Wali Allah al-Dihlawi yang menghimpunkan 40
peristiwa bertemu Rasulullah s.a.w. secara mimpi dan jaga. Perhati dan
fahamkan, apakah ada yang tidak bersandarkan kepada syariat baginda
s.a.w.?
7. Kekeliruan:
Sebarang ajaran sufi yang percaya dengan asas ini perlu dibendung
kerana akan membawa kemusnahan kepada masyarakat Islam dan menjauhkan
mereka dari ajaran Nabi s.a.w yang walaupun dari sudut penampilan mereka
mengajak kepada ibadat dan berbuat baik.
Jawapan:
Menurut pengetahuan saya setakat ini, tidak ada satu pun tariqat
sufi muktabar di dunia pada hari ini yang menolak keharusan bertemu
secara sedar/jaga (yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w. Apakah
seluruh tariqat-tariqat sufi ini dengan puluhan juta pemgamalnya perlu
dibendung dan dibanteras…? Apakah kemusnahan benar-benar berlaku kepada
masyarakat Islam dan mereka telah jauh dari ajaran Nabi s.a.w.
disebabkan seluruh tariqat sufi di dunia pada hari ini menyatakan –
sesudah sekian lama – seorang soleh harus bertemu secara sedar/jaga (yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w. ??
Tidak ada orang waras yang mengatakan demikian. Bahkan ramai dari
kalangan alim ulama tariqat-tariqat sufi ini adalah pemelihara-pemilhara
sunnah baginda s.a.w. baik sunnah yang zahir mahupun sunnah yang batin.
Berapa banyak rahmat dan manfaat rohani yang tersebar di seluruh dunia
sama ada kita sedari ataupun tidak, disebabkan usaha-usaha mereka.
Memang seluruh tariqat sufi di dunia pada hari ini menyatakan harus bertemu secara sedar/jaga (yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w., namun realitinya perkara tersebut tidak selalu berlaku pun kerana ia adalah suatukaramah yang
dianugerahkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya yang dikehendaki
sahaja. Bahkan dalam tempoh 100 tahun, barangkali hanya beberapa orang
sahaja yang boleh dibilang dengan jari mendakwa demikian, atau dikatakan
mengalaminya. Jika peribadi dan latar belakangnya bertunjangkan
syariat, maka baru boleh diterima dakwaan itu. Jika sebaliknya, maka
dakwaan tersebut adalah wajib ditolak.
Perlu juga dilihat bagaimana cara mereka dapat mencapai peringkat
kerohanian yang tinggi itu; Apakah zikirnya 100,000 setiap hari, atau
selawatnya 50,000 setiap hari, atau tahajjudnya 500 rakaat setiap hari?
Atau apakah hanya sekadar berjanggut, berjubah dan berserban besar saja,
tetapi amalannya ‘kosong’?? Kata al-‘Allamah Ibn Al-Haj dalam kitab al-Madkhal (3/194):
“Sebahagian orang mendakwa melihat Nabi s.a.w. secara yaqazah,
sedangkan ia merupakan satu perbahasan yang sempit (sukar) untuk
diperbahaskan. Amat sedikitlah dari kalangan mereka yang mengalaminya,
kecuali terhadap mereka yang amat mulia di zaman ini. Walau
bagaimanapun, kami tidak mengingkari sesiapa yang mengaku pernah
mengalaminya, dari kalangan orang-orang yang mulia yang dipelihara oleh
Allah s.w.t. zahir dan batin mereka.”
Wallahu a’lam.
Rujukan Tambahan:
- Melihat Nabi s.a.w. Secara Yaqazah: Satu Jawapan oleh Raja Ahmad Mukhlis:
- Rawd al-Rayyahin, http://cb.rayaheen.net
- Multaqa al-Nukhbah, http://www.nokhbah.net
- Masalah Berjumpa Rasulullah Ketika Jaga Selepas Wafatnya(terjemahan) oleh Husain Hasan Toma‘i.
- Sa‘adah al-Darayn oleh al-‘Allamah Syeikh Yusuf al-Nabhani.
- Fatwa Mufti Brunei, download : yaqazah-fatwa-mufti-brunei.
- al-Muqizah fi Ru’yah al-Rasul SAW fil Yaqazah oleh Syeikh Hisyam bin ‘Abd al-Karim al-Alusi, download: http://www.almijhar.org/book/almokza.pdf
- Tariqah al-Ahmadiah al-Idrisiah, http://www.ahmadiah-idrisiah.com/article-Yaqazah-pandangan-ulama.php
Sayang situs aslinya sudah ditutup / expired.
ReplyDelete